KUALA LUMPUR – Persidangan tiga sayap Umno pada hari ini nampaknya bukan sekadar memperkasakan politik orang Melayu, malah isu sejagat yang kian diperkatakan sekarang, iaitu isu pembersihan etnik Rohingya di Myanmar turut mendapat perhatian.
Puteri UMNO dalam satu kenyataan hari ini menggesa pihak berkuasa di peringkat antarabangsa supaya menghentikan pelbagai tindakan yang tidak berperikemanusian berikutan penindasan dan kekejaman terhadap etnik itu.
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihak badan hak asasi kemanusian seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu menyelesaikan kemelut etnik di negara berkenaan dengan segera.
“Di sana kini, rumah-rumah etnik Rohingya dibakar, golongan wanita dirogol bergilir-gilir sebelum dipenggal lehernya, kehidupan kanak-kanak dirampas dan umat Islam dipaksa menukar agama atau dibunuh.
“Oleh demikian, kita menggesa agar semua pihak, khususnya OIC, ASEAN dan PBB mengambil ketetapan dengan segera untuk menghentikan tindakan tidak berperikemanusian oleh regim Myanmar itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, semua pihak perlu mengamnil iktibar dan pengajaran yang berlaku kerana apa yang menimpa etnik Rohingya juga tidak mustahil akan melanda negara kita.
“Sesuatu yang menimpa saudara kita di Rohingya tidak mustahil akan menimpa kita jika kita alpa,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

