KUALA LUMPUR – DAP menyokong pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bermain politik kerana menangguhkan pembentangan pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di Dewan Rakyat semalam.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, pandangan yang dilontarkan oleh pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) mengenai niat Presiden PAS itu berkemungkinan betul disebabkan oleh tindakan Abdul Hadi sewaktu membentangkan usul itu semalam.
“Husam mungkin betul tetapi ada senario lain yang juga berkemungkinan Abdul Hadi berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Husam semalam mendakwa Abdul Hadi sengaja menangguhkan pembentangan pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di Dewan Rakyat untuk kepentingan politik partinya.
Beliau mendakwa Presiden PAS berbuat demiikian untuk menguntungkan parti itu dan juga UMNO daripada isu yang berbangkit dalam kalangan orang ramai disebabkan oleh rang undang-undang berkenaan.
Dakwa beliau, Abdul Hadi sengaja menangguhkan pembentangan pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) kerana PRU akan diadakan pada Mac atau April tahun depan supaya pengundi Islam terus terperangkap dalam sentimen rang undang-undang itu.
“Ia resipi yang mustajab, win win untuk tiga pihak menghadapi PRU secara ‘smart partnership’. Dengan itu, adalah selamat untuk menjangkakan:PAS adalah rakan UMNO. Bagi mereka yang masih mengharapkan PAS bersama dengan pakatan pembangkang akhirnya akan gigit jari,” dakwanya. – MYNEWSHUB.CC

