KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mengambil langkah proaktif untuk mengekalkan momentum perdagangan supaya pelaburan asing tetap masuk dan terus mendapat akses kepada pasaran luar negara untuk mengeksport barangan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri dalam catatan terbaharu di blog rasmi beliau, www.najibrazak.com berkata jika aktiviti perdagangan antarabangsa tidak dikekalkan pada kadar yang sihat pendapatan negara akan terjejas.
“Kerana itulah saya sekarang ini sangat aktif dalam mencari pelaburan serta meningkatkan kerjasama ekonomi dengan negara-negara lain kerana dua sebab utama meningkatkan pelaburan dan membuka pasaran eksport untuk negara kita.
“Alhamdulillah, usaha ini berjalan lancar dan Malaysia akan terus mengecapi pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan mampu membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat Malaysia. Ini sangat penting bagi meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Menurut Najib, dalam era globalisasi ini, perdagangan antarabangsa sangat penting bagi memacu arus pemodenan negara.
Sektor eksport negara, katanya, sangat pesat di mana barangan dan perkhidmatan kita mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa.
“Ia telah menjana pendapatan yang sangat lumayan dan membuka puluhan ribu peluang pekerjaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa negara maju dunia seperti Amerika Syarikat dan Britain ingin meningkatkan dasar perlindungan ekonomi di negara mereka masing-masing.
Apabila perkara ini berlaku, katanya, ramai pelabur beranggapan bahawa aliran taburan tunai khususnya di negara-negara Asia akan mula perlahan.
Kesan daripadanya kita lihat banyak negara menerima tempias ke atas pasaran saham dan nilai mata wang mereka dan Malaysia tidak terkecuali, jelas Najib. – BERNAMA

