KUALA LUMPUR – Pihak sekolah dan kolej perlu menyediakan platform untuk pelajar mereka yang berminat dalam bidang aeronautik, kata Presiden Persatuan Astronautik Malaysia, Kapten Mohammed Faiz Kamaludin.
Beliau berkata mereka boleh menubuhkan kelab untuk mengawasi dan memberi panduan kepada pelajar terutama dalam melakukan eksperimen berkaitan bahan letupan.
“Kita percaya pelajar kini banyak menggunakan Internet atau Youtube sebagai sumber rujukan untuk melakukan eksperimen berkaitan bahan letupan sehingga boleh membahayakan diri mereka,” katanya kepada Bernama.
Beliau diminta mengulas kejadian letupan yang dialami tiga pelajar Institut Latihan Perindustrian di Manir, Terengganu pada Sabtu lalu.
Ketiga-tiganya dipercayai melakukan percubaan untuk membuat roket dengan memasukkan serbuk sulfur dalam paip besi.
“Saya merasa kasihan dengan kejadian itu dan percaya ia tidak akan berlaku sekiranya para pelajar berkenaan mendapat panduan dan pengawasan secukupnya,” kata juruterbang Malaysia Airlines ini. – BERNAMA

