KUALA LUMPUR – Sebanyak 402 pekerja di sektor pembinaan maut dalam kemalangan di tapak pembinaan antara 2011 hingga Oktober tahun ini, demikian menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
Menurut laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), katanya sebanyak 594 lagi pekerja mengalami kecederaan dalam tempoh yang sama.
Dalam 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 55 pekerja maut dan 95 cedera berbanding 88 kematian dan 148 mengalami kecederaan sepanjang tahun lepas, katanya.
Dalam pada itu, enam kes kematian melibatkan bukan pekerja dilapor dan disiasat oleh JKKP dari tahun 2013 hingga Oktober ini, katanya ketika menjawab soalan lisan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Kulasegaran bertanya mengenai jumlah pekerja dan bukan pekerja yang terbunuh atau tercedera semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan dan usaha-usaha yang dijalankan untuk mencegah kemalangan berlaku.
Ismail berkata, bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan, JKKP mengambil beberapa langkah antaranya mewujudkan Pelan Penguatkuasaan Tapak Bina bermula tahun lepas yang merangkumi beberapa perkara, termasuk penambahan bilangan aktiviti penguatkuasaan di tapak pembinaan.
Katanya sebanyak 7,329 pemeriksaan dijalankan pada tahun 2013 dan jumlahnya meningkat kepada 9,822 tahun lepas.
Beliau berklata JKKP juga mengambil tindakan punitif ke atas ketidakpatuhan perundangan di tapak-tapak pembinaan di mana sebanyak 949 notis dikeluarkan pada 2013 dan meningkat mendadak kepada 6,211 notis pada tahun lepas.
JKKP juga telah menubuhkan unit rondaan keselamatan di setiap negeri bagi membuat pemantauan di tapak-tapak pembinaan dan mengadakan operasi penguatkuasaan mengejut berdasarkan aduan orang awam.
Katanya, perundangan berkaitan tapak bina seperti akta, peraturan dan garis panduan digubal dan disemak semula supaya kekal relevan serta sesuai dengan kehendak semasa. – BERNAMA

