KUALA LUMPUR – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh ibu teman lelakinya, Julai lepas.
Hui Nam Fong, 27, didakwa membunuh Lee Chee Seong, 55, di Nombor 28, Jalan 3/15, Pinggiran Templer, Batu Caves, Selangor, antara 6 petang dan 9 malam, 2 Julai lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada wanita itu yang tidak bekerja selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahyon juga memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azhwa Yusrie Moham supaya tertuduh dihantar menjalani ujian mental.
Mahyon mengarahkan tertuduh menjalani ujian tersebut selama sebulan dan menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

