HASRAT seorang warga China untuk pulang ke tanah air terbantut apabila didapati kantoi mencuri gincu dan produk penjagaan kulit daripada sebuah kedai bebas cukai yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali, Indonesia.
Menurut sebuah portal Indonesia, Yao Dong Mei, ibu muda berusia 47 tahun ditahan ketika cuba untuk menyeludup keluar hasil curiannya dari kedai berkenaan apabila pengera mesin pengimbas tiba-tiba berbunyi.

Lantas suspek terpaksa diasingkan dan pemeriksaan lanjut ke atas barangan yang dibawanya perlu dijalankan.
Hasil pemeriksaan para petugas menjumpai beberapa barangan termasuk dua gincu dan produk penjagaan kulit dari dua jenama berbeza iaitu Sisley Ecological dan La Mer the Con yang berjumlah 9 juta rupiah (RM2,835.67).

Polis Indonesia mengesahkan insiden tersebut dan menyatakan bahawa siasatan masih dijalankan.
“Benar, ada berlaku penahanan seorang penumpang yang berasal dari China. Suspek ialah seorang wanita dan siasatan masih dijalankan,” kata salah seorang anggota polis berkenaan. – MYNEWSHUB.CC

