KUALA LUMPUR – Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi semalam merupakan langkah permulaan untuk mengukuhkan parti –parti pembangkang bagi berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kehadiran Mahathir turut membuktikan bekas Perdana Menteri itu bersedia menerima agenda reformasi seperti yang disebut oleh Anwar.
“Saya gembira menyaksikan Anwar dan Mahathir bertemu kembali setelah 18 tahun terpisah. Saya yakin ini satu permulaan ke arah perpaduan dan pengukuhan parti–parti politik yang progresif sebagai persiapan untuk PRU14,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ironinya, agenda reformasi yang kini disokong oleh Mahathir itu digerakkan oleh Anwar pada tahun 1998 bertujuan menumbangkan Mahathir sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.
Anwar bertindak demikian kerana Mahathir memecatnya pada 1998 sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar juga dipecat daripada UMNO.
Anwar kemudian dikenakan pertuduhan berkaitan rasuah dan meliwat. Beliau dihukum enam tahun penjara pada 1999 berhubung empat tuduhan rasuah.
Beliau dibebaskan pada 2 September 2004 hanya selepas Mahathir melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan diganti Oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ramai pihak bagaimanapun berpandangan kehadiran Mahathir di Mahkamah Tinggi bagi memberi sokongan kepada Anwar baru-baru ini sebagai langkah terdesak bekas Perdana Menteri tersebut.
Ia dilakukan demi kepentingan politik selepas Mahathir menyedari segala usahanya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diluar batas demokratik tidak berjaya. – mynewshub.cc

