KUALA LUMPUR – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPP) telah menahan pihak syarikat yang bertanggungjawab dalam pencerobohan Hutan Simpan Dara Terenggun, Pahang.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jabatan itu juga telah menyita jentera-jentera terlibat dalam aktiviti pencerobohan.
“Pencerobohan tersebut melibatkan dua kompartmen di Hutan Simpan Terenggun, Daerah Kuala Lipis, Pahang. Syarikat tersebut telah diberikan permit bagi tujuan kajian mineral bagi tempoh 1 Ogos 2015 – 31 Okt 2015,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas pencerobohan hutan berkenaan yang dilaporkan oleh sebuah akhbar baru-baru ini.
Wan Junaidi berkata berdasarkan siasatan JPP, pihak syarikat telah membuat jalan hutan pada November 2015 sepanjang tiga kilometer dan telah menebang empat batang pokok tanpa kebenaran.
“Ini menunjukkan pihak syarikat tidak mengendahkan undang-undang sedia ada mengenai pencerobohan hutan,” katanya.
Beliau berkata, JPP akan terus memantau rapi lokasi berkenaan.
“Saya memberi amaran keras sekiranya didapati mana-mana individu atau syarikat yang melakukan aktiviti pencerobohan hutan maka tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau syarikat terbabit mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya. – BERNAMA

