JAKARTA – Jabatan Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT) mengadakan satu perlumbaan menangkap buaya di wilayah Kota Kupang mulai 3 Ogos lalu.
Menurut ketua jabatan tersebut, Marius Ardu Jelamu, perlumbaan unik itu diadakan kerana terlalu banyak buaya didapati bebas berkeliaran di kawasan pantai yang menjadi tumpuan ramai pelancong luar.

Kehadiran reptilia ganas itu sering mengganggu dan meresahkan para nelayan setempat dan pengunjung yang hadir untuk beriadah.
“Saya tidak mahu perairan kita dipenuhi dengan buaya yang berkeliaran. Oleh sebab itu saya menganjurkan perlumbaan ini.
“Bagi masyarakat yang mempunyai kelayakan digesa untuk menubuhkan kumpulan bagi menangkap buaya-buaya tersebut,” kata Marius.
Tambah Marius lagi, tanggungjawab menangkap buaya sebenarnya tugas Pusat Pemuliharaan Sumber Alam Sekitar (BBKSDA) wilayah NTT.
Namun disebabkan agensi itu memiliki keterbatasan peralatan dan anggota menyebabkan mereka mengalami kesulitan untuk mengawal kehadiran reptilia terbabit ke kawasan tumpuan pelancong.
Menurut Marius, individu atau kumpulan yang berjaya menangkap buaya akan diberikan ganjaran sebanyak 5 juta rupiah (kira-kira RM1,539.37) selain dibekalkan insurans sekiranya mengalami kecederaan.
Buaya yang ditangkap dalam keadaan hidup akan diserahkan kepada pihak BBKSDA NTT. – MYNEWSHUB.CC

