JOHOR BAHRU – Dua sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang rakan sekerja mereka pada Januari 2013.
Hakim Datuk Dr Sabirin Ja’afar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapi S.P. Rajnath, 29, dan B. Marvin Kumar, 30.
“Apabila dipertimbang secara keseluruhan, (orang kena tuduh) OKT1 dan OKT2 adalah orang yang terakhir dilihat bersama si mati.
“Selain itu, kesan darah ditemui di karpet merah dalam kereta milik bapa OKT2 didapati sepadan dengan spesimen darah si mati, malah putung rokok dijumpai di tempat kejadian juga sepadan dengan profil DNA OKT1, sekaligus cukup mengaitkan kedua-duanya dengan pembunuhan sekalipun mereka menafikan berada di tempat kejadian,” kata hakim.
Sejurus hakim menyampaikan keputusan itu, kedua-dua tertuduh diserbu oleh anggota keluarga masing-masing yang menangis teresak-esak manakala kedua-dua tertuduh pula kelihatan tenang.
Rajnath dan Marvin didakwa membunuh M. Mathan, 19, dengan menggunakan parang di tepi jalan Taman Rekreasi Jemaluang di Km22, Jalan Mersing-Jemaluang-Kluang antara pukul 2 pagi hingga 5 pagi pada 4 Jan 2013.
Mayat mangsa kemudian ditemukan di taman itu dengan 180 kesan kecederaan di tubuh badan oleh seorang anggota polis pada pukul 8.07 pagi hari yang sama.
Rajnath dan Marvin didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan diadakan, seramai 18 saksi pihak pendakwaan dan tiga saksi pihak pembelaan telah dipanggil memberi keterangan termasuk ibu bapa tertuduh, seorang patalogis, dua jurugambar polis dan pengadu kes.
Selepas keputusan itu disampaikan, kedua-dua tertuduh melalui peguam bela masing-masing iaitu A. Vasudevan dan V. Rajagopal telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Iffa Zarilla Abd Rahman. – BERNAMA

