KUALA LUMPUR – Orang ramai boleh membayar bil dan menguruskan pelbagai hal lain berkaitan penggunaan elektrik dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara dalam talian bermula hujung bulan ini.
TNB dalam satu kenyataan media berkata, perkhidmatan dalam talian di laman sesawang www.mytnb.com.my itu membolehkan orang ramai membuat pelbagai transaksi dan mendapatkan akses kepada maklumat yang diingini.
“Antara urusan yang boleh dilakukan secara dalam talian ini adalah pembayaran bil, permohonan bekalan, pengurusan dan penutupan akaun, pemulangan wang cagaran dan pelbagai transaksi lain yang akan diperkenalkan kemudian,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, orang ramai boleh juga mendapat maklumat dan trend penggunaan elektrik mereka, carian berkaitan industri elektik dan pelbagai informasi lain melalui laman sesawang itu.
Jelas TNB, portal tersebut menggunakan satu sistem bersepadu yang turut membolehkan pengguna membuat urusan ‘tanpa sempadan’ untuk permohonan bekalan, COT dan penutupan akaun di mana-mana Kedai Tenaga di seluruh semenanjung.
“Semasa tempoh peralihan sistem (sepanjang bulan Julai, 2016) gangguan kecil (minor hiccups) mungkin terjadi untuk beberapa transaksi.
“Bagaimanapun, warga kerja kami sedia membantu dan akan berusaha sebaik boleh bagi mengurangkan gangguan tersebut,” kata kenyataan itu lagi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tnb.com.my atau menghubungi pegawai khidmat pelanggan TNB di talian 15454, 1300885454 atau di Kedai Tenaga berhampiran. – MYNEWSHUB.CC

