PUTRAJAYA – Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini berangkat melawat Institut Kanser Negara (IKN) di sini sempena sambutan ulang tahun keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Hamidah Khamis dan Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Puan Sri Rohani Abdullah.
Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan isteri Datin Seri Dr S.Umarani.
Pada lawatan berkenaan, Tuanku Hajah Haminah menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada IKN selain melawat wad pediatrik.
Baginda turut mendengar taklimat yang disampaikan Pengarah IKN Dr Asmayani Khalib mengenai perkembangan IKN selain dipertonton video berkaitan perkhidmatan dan kemudahan di institut tersebut serta menandatangani buku pelawat.
Dr Subramaniam dalam ucapan aluannya berkata Kementerian Kesihatan kini dalam peringkat akhir mengemas kini Pelan Tindakan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser 2016-2020.
“Dokumen ini akan menggantikan pelan tindakan sebelum ini iaitu National Cancer Control Blueprint 2008-2015,” katanya.
Tambah beliau, pelan tindakan yang sedang dikemas kini juga merangkumi semua aspek yang melibatkan kawalan kanser iaitu pencegahan, saringan, pengesanan awal, diagnosis, rawatan, rehabilitasi, rawatan paliatif serta perubatan tradisional dan komplementari.
Dr Asmayani dalam ucapan sembah taklimatnya berkata sejak memulakan operasi pada September 2013, kedatangan pesakit ke IKN mencatatkan peningkatan.
“Pada 2013, IKN menerima 869 pesakit manakala pada 2014 pesakit di IKN bertambah sebanyak 18,127 orang dan pada 2015 jumlah pesakit bertambah dua kali ganda iaitu sebanyak 36,230 orang.
“Bagi 2016 sehingga Mei, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di IKN telah mencapai 18,698,” katanya. – BERNAMA

