KOTA BHARU – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti Islam itu kini lebih cenderung kepada pendekatan untuk meramaikan kawan dan bukan menambah musuh politik sedia ada.
Beliau berkata, kesediaan PAS berdamping dengan pelbagai parti politik termasuk parti pemerintah hanya untuk mencari persamaan, sejajar dengan budaya politik matang dan sejahtera.
“Kita perlu mengambil pendekatan strategik, (iaitu) meramaikan kawan sebanyak mungkin, bukan meramaikan musuh. Kemenangan bukan untuk balas dendam, (tapi) untuk menunjukkan kebaikan.
“Kita mendekatkan diri dengan parti-parti politik yang mempunyai titik persamaan dan memaafkan perbezaan yang boleh dimaafkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulunggan dan penangguhan Muktamar Tahunan PAS ke-62, di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, politik matang yang diajar Rasulullah SAW bukan untuk menghukum mana-mana pihak, sebaliknya menarik mereka kepada Islam.
“Maka cakap-cakap, kalau kita menang, nak tangkap orang itu dan ini, nak hukum orang itu dan ini, ini bukan akhlak, bukan perjuangan politik matang sejahtera, bukan diajar oleh Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.
Beliau turut berkata, Pas wajib menjadikan masyarakat majmuk sebagai medan untuk memperkenalkan politik adil, sejahtera dan rahmat.
“Kita berdepan dengan masyarakat Melayu yang jahil, tapi cintakan Islam. Kita berdepan dengan orang Islam yang hina hukum hudud dan Islam.
“Dia sembahyang, umrah tak tinggal, politik suku, agama suku, macam mana kita nak buat orang macam ini? katanya lagi. – Sinar Harian

