SEJAK masuk penjara atas kesalahan liwat tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berdepan ‘layanan dingin’ daripada parti sekutunya sendiri dalam Pakatan Harapan malahan semakin lama semakin teruk situasinya.
Terkini, kedudukan beliau sebagai de facto leader pembangkang nampaknya tergugat selepas DAP tergamak menolak ‘amanat’ Anwar supaya pakatan pembangkang berwaspada dengan kelicikan Tun Mahathir Mohamad.
Sebaliknya DAP menegaskan untuk terus bekerjasama dengan Mahathir, bekas bos Anwar yang kemudian menjadi musuh ketat selepas dipecat secara zalim pada 1998 sehingga menggelarkan negarawan itu sebagai firaun diktator!
Dalam respons pertama daripada pihak DAP sejurus tersebarnya surat Anwar tersebut dari penjara Sungai Buloh, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua dengan selamba berkata, surat Anwar itu adalah perkara biasa.
“Ia adalah reaksi yang biasa. Selain Anwar, masih ramai di luar sana yang tetap sangsi dengan Mahathir. Sama seperti mereka meragui ketika Anwar mula menyertai pakatan pembangkang banyak tahun yang lalu.
“Kebimbangan beliau (Anwar) itu ada rasionalnya seperti kami jua. Kami juga takut dipergunakan oleh Mahathir demi agenda peribadi,” dalih Pua yang juga Pengerusi DAP Selangor dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.
Dalam surat lapan halaman itu, Anwar mengejutkan banyak pihak dengan kritikan terbuka terhadap Mahathir dan Deklarasi Rakyat selain menyentuh pelbagai isu termasuk masalah perjuangan PKR dan kelicikan politik Mahathir.
Ini kali pertama DAP menyanggah Anwar secara terbuka dan menurut Pua, selepas menimbang buruk baiknya menjalin kerjasama dengan Mahathir, DAP merasakan boleh meraih banyak manfaat hasil kerjasama pelik itu.
“Titik utama ialah kita mampu mendekati penyokong BN menerusi Mahathir. Kami boleh menggunakan pengaruh besar beliau untuk mendekati lebih ramai penyokong beliau dalam kalangan penyokong tegar BN,” ujar Pua lagi.
“Peluang ini akan digunakan untuk menerangkan kepada penyokong BN tentang pendirian kami supaya mereka lebih mengenali Pakatan Harapan dengan lebih baik. Dan, kita mendapat lebih banyak sokongan,” katanya. – Mynewshub.cc/HAA

