KUANTAN – Penduduk Kampung Pantai di sini hari ini gempar dengan penemuan sisa minyak hitam di sepanjang persisiran Pantai Beserah, dipercayai dibuang daripada kapal di tengah laut.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Azmi Mohamad, 67, berkata sisa minyak seakan-akan tar itu ditemui sepanjang hampir 10 kilometer dan disedari penduduk berlaku sejak pagi Rabu.
“Saya dimaklumkan tentang sisa minyak itu oleh nelayan yang baharu pulang dari laut sekitar 10 pagi. Kami datang periksa sebelum membuat laporan kepada Jabatan Alam Sekitar,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Azmi memaklumkan ini merupakan kejadian kedua tumpahan minyak dikesan di kampung itu, selepas kejadian kali pertama pada 2015, yang disifatkan lebih buruk daripada kejadian hari ini.
“Kesan minyak ini apabila panas akan mengering seperti tompokan tar. Tahun lalu, jentolak digunakan untuk mengumpulkan kesan minyak sebelum dibuang ke tempat lain.
“Kali ini, saya harap pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan membantu membersihkan tumpahan minyak ini dengan segera supaya tidak melekat di badan bot semasa nelayan menolak bot untuk ke laut,” katanya.
Azmi menambah kampung itu mempunyai lebih 20 nelayan.
Sementara itu, penduduk kampung Supian Syaharom, 59, berkata beliau menjumpai kesan tumpahan itu semasa menangkap ikan dua hari lepas apabila melihat kesan minyak hitam melekat di jaring.
“Kesan minyak itu mungkin dibawa air pasang sehingga ke pantai. Saya harap mereka yang berkenaan akan kesan segera punca dan bersihkan kesan minyak. Minyak yang terlekat di bot susah untuk dibersihkan kerana perlu dikikis,” katanya.
Supian menambah jaring yang terkena minyak itu juga tidak boleh digunakan lagi selepas minyak mengeras.
Seorang lagi penduduk Yacob Murtujah, 61, berkata beliau mendengar daripada beberapa nelayan yang melihat tompokan hitam sekitar bot yang berada di tengah laut.
Sementara itu, Pengarah JAS Pahang Rosli Zul semasa dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menambah telah menghantar pegawai untuk mengambil sampel minyak di Pantai Pelindung dan Pantai Beserah untuk siasatan lanjut.
“Kita juga akan meminta bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut untuk mengesan punca minyak,” katanya. – BERNAMA

