TAPAH – Sepuluh kenderaan pacuan empat roda yang membawa 30 sukarelawan masyarakat UMW menyertai ‘Kembara MSAM-UMW 2016’ untuk melawat empat perkampungan Orang Asli bagi mempererat hubungan dengan komuniti itu.
Empat kampung yang terpilih ialah Kampung Menderang, Kampung Orang Asli Bukit Terang, Kampung Kinjang dan Kampung Orang Asli Rancangan Penempatan Semula Jernang, yang kesemuanya terletak kira-kira 20 kilometer dari sini.
Konvoi itu yang diadakan bersempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 dilepaskan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman bersama Ketua Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd Badrul Feisal Abdul Rahim, di sini hari ini.
Ketua Komunikasi Korporat UMW Holdings Bhd Badrul Rahman berkata semasa lawatan itu, konvoi berkenaan mengagih-agihkan barang keperluan seperti beras, minyak masak, tepung dan garam kepada keluarga miskin di empat kampung itu.
“Kira-kira 540 keluarga akan menerima manfaat daripada program itu dan hari ini konvoi itu dijangka memasuki Kampung Menderang untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, pemeriksaan kesihatan dan permainan, ” katanya kepada pemberita selepas acara pelepasan itu.
Menurut Badrul, konvoi itu akan juga memasuki ke dalam perkampungan itu untuk menyerahkan sendiri barang-barang yang dibawa kepada mereka yang tidak dapat hadir di pusat komuniti itu kerana sakit atau kurang upaya.
“Program empat hari itu bertujuan membawa masyarakat Orang Asli mendekati para pemimpin masyarakat dan meningkatkan hubungan dengan pelbagai agensi berkaitan PNB serta mempromosi MSAM 2016,” katanya.
Beliau berkata para sukarelawan Juara Komuniti UMW yang terdiri daripada kakitangan dari Shah Alam dan Skim Latihan 1Malayisa (SL1M) akan juga mengadakan gotong-royong di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Iman. – BERNAMA

