TANJUNG KLING – Seorang wanita ditemui mati dipercayai akibat lemas di Pantai Kundor, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1.45 petang itu, Sapura Yaakub, 30, ditemui terdampar dengan berseluar jeans dan bersinglet oleh orang awam di kawasan pantai berhampiran Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al-Haj.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mangsa merupakan seorang pekerja kontrak memotong rumput dipercayai lemas ketika mandi laut.
“Mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut,†katanya.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Samsuri Mohd Soib, 50, berkata, dia menyedari orang ramai mengerumuni kawasan itu ketika pulang dari solat Jumaat.
“Orang ramai berdiri dan memandang dari jauh pada satu objek di tepi pantai. Saya kemudian berhenti menunggang dan berjalan ke gigi air sebelum melihat seorang wanita dalam keadaan terlangkup dan tidak lagi bernyawa,†katanya ketika ditemui, semalam.
Samsuri berkata, dia kemudian bertindak menghubungi polis sebelum beberapa anggota polis dari Balai Polis Tanjung Kling datang ke lokasi.
“Baju trek suit berlengan panjang turut ditemui di bawah pokok yang terletak kira-kira 10 meter daripada tempat dia ditemui terdampar,†katanya. – Sinar Harian Online

