Selain memastikan negara bebas daripada jangkitan penyakit maut bawaan virus, Ebola yang kini meragut ribuan nyawa khususnya di benua Afrika, Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengutamakan keselamatan kakitangannya dari dijangkiti virus berkenaan.
Dalam taklimat media oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam petang tadi, beliau memaklumkan jika ada pesakit disahkan dijangkiti Ebola tiga buah hospital telah ditetapkan untuk menjalankan prosedur rawatan ke atas pesakit berkenaan.
Hospital itu ialah Hospital Sungai Buloh di Semenanjung Malaysia, Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah dan Hospital Umum Kuching di Sarawak.
Selain itu, 21 buah hospital di seluruh negara sudah dikenalpasti untuk digunakan sebagai lokasi melakukan ujian pengesahan Ebola sebelum dipindahkan ke tiga hospital berkenaan.
Semua kakitangan hospital berkaitan sudah pun bersiap sedia dengan kelengkapan khas bagi melindungi diri mereka sendiri daripada dijangkiti Ebola yang boleh berjangkit dengan hanya melalui sentuhan.
“Buat masa ini, sebanyak enam sesi latihan simulasi berkaitan pengendalian kes Ebola di lapangan telah diadakan di pelbagai peringkat KKM untuk menilai dan memperkukuhkan status kesiapsiagaan serta respons bagi menghadapi potensi penularan Ebola di Malaysia.
“Selain dari itu, Malaysia turut terlibat dalam latihan simulasi Ebola yang dianjurkan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO),” kata Subramaniam dalam sesi taklimat media di Putrajaya hari ini.
http://youtu.be/12RSHpaV_yE
Pada sesi taklimat itu, pihak KKM turut mengadakan demonstrasi menunjukkan bagaimana petugas perubatan menguruskan kelengkapan perlindungan diri mereka dan ia memang satu proses yang rumit dan begitu teliti.
Demonstrasi pertama melibatkan pakaian perlindungan jika mengendalikan kes disyaki Ebola dan demonstrasi kedua jika mengendalikan pesakit positif Ebola.
Para petugas perlu melakukan tugas menanggalkan pakaian berkenaan secara berhati-hati supaya diri mereka tidak terdedah kepada jangkitan virus maut itu.
Setiap pergerakan menanggalkan pakaian perlindungan diri itu akan diperhatikan dengan teliti oleh petugas khas untuk memerhatikan jika petugas berkenaan melanggar protokol keselamatan bagi mengelakkan jangkitan.
Jika terdapat prosedur yang tidak diikuti dan dilanggar, maka petugas itu akan segera diletakkan ke tempat kuarantin untuk pemeriksaan lanjut.
Daripada 4,033 kematian akibat Ebola, sebanyak 202 kematian melibatkan petugas perubatan yang mengendalikan kes penyakit berkenaan.
Ebola kini menyerang tiga buah negara di barat Afrika iaitu Guinea, Liberia dan Sierra Leone. – MYNEWSHUB
(VIDEO : Tangisan Jururawat Yang Kini Pesakit Ebola, Nina Pham - Klik)
Oleh : IBNU K  | Foto dan Video : RIZA RAZAKÂÂ

