JOHOR BAHARU – Klinik 1Malaysia sememangnya amat diperlukan oleh rakyat di saat ekonomi semakin mencabar sama ada di bandar raya besar mahupun kawasan perkampungan di seluruh negara.
Tinjauan Bernama di Klinik 1Malaysia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Galeria mendapati selain bayaran yang dikenakan murah hanya RM1, kebanyakan pesakit yang menerima rawatan ringan di klinik itu juga sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.
Seorang pengunjung klinik itu, Norazlina Zainal yang bekerja di sebuah syarikat perubatan berkata kewujudan klinik ini amat bertepatan terutama ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.
“Dalam keadaan semasa ini, kalau kita gunakan perkhidmatan swasta, kita akan dikenakan bayaran dan caj yang mahal. Dengan adanya klinik 1Malaysia, kita hanya membayar dengan harga berpatutan.
“Saya juga tidak perlu ambil masa lama dan panjang untuk membuat rawatan gigi di sini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Selain itu, lokasi klinik yang terletak di dalam UTC yang sentiasa menjadi tumpuan umum untuk berurusan dengan agensi kerajaan, memudahkan warga tempatan untuk datang ke klinik tersebut.
Seorang pesakit yang ingin dikenali sebagai Masarah Tamat berkata perkhidmatan yang diberikan kepada pesakit di klinik berkenaan adalah sangat memuaskan dan selesa.
“Kerajaan telah bagi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat, bukan sahaja murah bahkan kemudahan yang diberikan amat memuaskan serta selesa,” kata Pembantu Tadbir Pejabat Tanah yang menetap di Taman Universiti itu.
Suhaimi Azali, 33, seorang penjawat awam pula berkata kewujudan klinik ini perlu diperluaskan lagi bagi memudahkan orang ramai mendapat rawatan selain menjimatkan masa.
Klinik 1Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dilancarkan pada tahun 2010, merupakan satu daripada usaha dan bukti kerajaan prihatin terhadap rakyat yang berpendapatan rendah.
Di Johor sahaja, terdapat 32 Klinik 1Malaysia termasuk masing-masing satu di UTC dan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), yang beroperasi tujuh hari seminggu termasuk cuti sekolah dan hari perayaan dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. – BERNAMA

