JAKARTA – Sebuah bot nelayan dengan nombor pendaftaran bot Malaysia ditahan di kawasan perairan Indonesia di Langsa, Aceh semalam.
Polis turut menahan lima awak-awak dan nakhoda bot itu yang mempunyai dokumen pengenalan diri warga Thailand dan Myanmar.
Media tempatan memetik jurucakap Polis Air Republik Indonesia Antonio S sebagai berkata, bot itu ditahan ketika sedang menggunakan pukat harimau di kawasan perairan dekat pantai Langsa lewat petang semalam.
Beliau berkata bot itu mempunyai nombor pendaftaran Malaysia KHF 1959 GT 64 tetapi tidak memasang bendera negara asal.
Antonio berkata sepasukan polis yang membuat rondaan di kawasan perairan itu mengesyaki sesuatu yang mencurigakan apabila bot terbabit tidak memasang bendera sebelum menahannya.
Katanya setelah menggeledah bot itu, polis menemui 800 kilogram pelbagai jenis ikan yang ditangkap dalam kawasan perairan berkenaan.
Nakhoda dan kesemua awak-awak kapal itu kini ditahan untuk siasatan kerana menceroboh kawasan perairan di zon ekonomi eklusif Indonesia. – BERNAMA

