Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) bakal mengadakan konsert khas bagi memberi penghormatan kepada penyanyi lagenda Tan Sri SM Salim di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 12 Mac ini.
Konsert ini bakal membariskan 18 artis popular tanah air antaranya Datuk DJ Dave, Datuk M Nasir, Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Ramli Sarip, Datuk Yusni Hamid, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Andre Goh dan Zur Eda.
Turut serta bagi memeriahkan lagi konsert tersebut ialah Noraniza Idris, Ezad Lazim, Zahid AF, Usop Kopratasa, Raihan, Hasmidar, Bob Yusof, Alyah, Haziq dan Syafinaz Selamat.
Dengan adanya konsert seumpama ini, MYNEWSHUB percaya lagu-lagu popular dendangan Tan Sri akan sentiasa mekar dan subur di hati peminatnya serta kekal tidak ditelan dek zaman.
Konsert yang diberi nama ‘Tribute To Lagend-Tan Sri SM Salim’ itu diadakan secara percuma namun badan korporat, rakan artis dan orang perseorangan digalakkan untuk menderma bagi mengisi tabung YA1M.
Menurut DJ Dave kepada Bernama, kesemua hasil kutipan dari konsert ini akan disalurkan kepada dana bantuan dan kebajikan Yayasan bagi membantu rakan-rakan artis yang memerlukan dan juga kebajikan para artis sendiri.
Tambahnya lagi, Tan Sri SM Salim merupakan contoh seniman yang terbaik, berjaya bergandingan dengan artis dari pelbagai generasi dan era, sama ada baru mahupun lama.
Beliau juga turut menyatakan bahawa, di masa akan datang pasti ada konsert yang seumpama ini demi memastikan lebih ramai artis veteran yang dapat diberi penghargaan dan pengiftirafan disamping memberi sentuhan baru kepada lagu-lagu mereka. –MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=XUlXqZF4Ves]


