KUALA LUMPUR – Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) akan melaksanakan sistem pembayaran tol elektronik sepenuhnya bermula pukul 12 tengahari pada 2 Mac ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, langkah itu sejajar dengan usaha kerajaan menyasarkan penggunaan sistem bayaran tol elektronik sepenuhnya di semua lebuh raya bertol di seluruh negara menjelang tahun 2017.
“Pelaksanaan ini juga secara langsung menjadikan pengguna lebih bijak dengan menjadikan perjalanan lebih mudah, lancar, tidak perlu beratur panjang sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di plaza tol terutama sekali di lorong tunai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Fuad berkata, LATAR akan menawarkan insentif kepada para pengguna dengan penawaran rebat penggunaan Touch ‘n Go dan SmartTAG sebanyak 10 peratus bagi pengguna Kelas 1 bermula 2 Mac hingga 30 April 2016.
Selain itum katanya, LATAR menawarkan promosi pemberian Kad Touch ‘n Go secara percuma di lorong semua kelas setiap plaza tol dan pengguna hanya perlu membayar RM5 untuk harga tambah nilai bagi setiap kad tersebut.
“Manakala promosi jualan SmartTAG dengan harga RM99 tidak termasuk GST. Kedua-dua promosi ini tertakluk sementara stok masih ada,” katanya.
Kata beliau, LATAR turut menawarkan akses mudah dan perkhidmatan sedia ada iaitu perkhidmatan lorong tambah nilai 24 jam di setiap plaza tol untuk pengguna lebuh raya menambah nilai kad Touch n’ Go di lebuhraya LATAR pada bila-bila masa tanpa sebarang halangan tanpa perlu keluar daripada lebuh raya. – mynewshub.cc

