KUALA LUMPUR – Pemimpin pembangkang dan Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) kelihatan cukup senada dalam mempertahankan keududukan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Besar Kedah.
Pemimpin Pakatan Harapan, Suhaizan Kaiat dalam satu kenyataan semalam secara terbuka mempersoalkan mengapa Ketua UMNO Bahagian di Kedah yang mendesak Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatan tidak dikenakan sebarang tindakan.
Katanya, Ketua Cawangan UMNO yang mendesak Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur sebelum ini dikenakan tindakan displin.
“Ketua Cawangan UMNO desak Najib berundur dikenakan tindakan displin. Ketua Bahagian UMNO desak Mukhriz undur kena tindakan apa?” soalnya dalam satu kenyataan semalam.
GKCM yang tidak diiktiraf parti semalam turut meminta supaya tindakan disiplin dikenakan ke atas semua ketua UMNO bahagian di Kedah yang menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz.
Pengerusinya, Kamarulazman Habibur Rahman cuba membandingkan sembilan ketua cawangan UMNO Teluk Kemang digantung keahlian selama enam tahun kerana mendesak presiden parti berundur.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini bagaimanapun dengan terang menjelaskan tiada tindakan disiplin diambil terhadap 14 Ketua UMNO Bahagian di Kedah kerana mereka bertindak mengikut perlembagaan parti.
“Mereka menyuarakan tidak senang dengan ketua perhubungan UMNO negeri mereka, tetapi mereka kata terpulang kepada presiden parti untuk menentukan, bukan mereka desak letak jawatan seperti dilakukan ketua cawangan,” katanya. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]_Dc5fiEltVo[/wpdevart_youtube]

