NEW DELHI – India semalam meminta Pakistan agar berhenti membedil Kashmir dan memberi amaran Islamabad akan menyesal jika terus menyerang wilayah tersebut.
Dua negara berjiran itu saling tuduh-menuduh berkaitan keganasan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang awam di rantau banjaran Himalaya tersebut pada minggu ini.
India dan Pakistan merupakan dua negara kuasa nuklear.
“Jika Pakistan terus membedil Kashmir, tentera kami akan membuatkan mereka (Pakistan) menyesal.
“Pakistan perlu menghentikan bedilan meriam tanpa provokasi ini jika ia mahu keamanan di sempadan,†kata Menteri Pertahanan India, Arun Jaitley di sini.
Beribu-ribu orang di wilayah Kashmir sebelah India dan Pakistan meninggalkan kediaman mereka untuk menyelamatkan diri daripada bedilan meriam tentera Pakistan dan India.
Sembilan penduduk awam terbunuh akibat pertempuran di sempadan Kashmir pada Isnin lalu sekali gus angka korban tertinggi dalam sehari sejak lebih sedekad lalu.
Jaitley dalam kenyataannya, memberi alasan tentera India perlu melakukan serangan balas untuk melindungi rakyatnya. Beliau turut menuduh Pakistan sebagai sengaja cuba mencetuskan ketegangan.
Kashmir dibahagikan antara India dan Pakistan tetapi kedua-dua negara itu terus membuat tuntutan ke atas wilayah di Banjaran Himalaya tersebut.
Pertempuran kerap berlaku di sempadan yang menjadi pertikaian antara Islamabad dan New Delhi dikenali sebagai Garis Kawalan (LoC) selain di sempadan yang memisahkan wilayah Kashmir dari negeri Punjab di Pakistan.
Pertempuran antara tentera India dengan pemberontak Kashmir telah meragut puluhan ribu nyawa dengan kebanyakannya orang awam sejak tahun 2004. – AFP

