KUALA LUMPUR – Sejumlah 47 kakitangan perubatan termasuk tujuh orang pakar bersiap siaga 24 jam untuk memberi rawatan perubatan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini.
Pembantu Komander Perubatan bagi sidang kemuncak, Dr Ridzuan Mohd Isa berkata lima pangkalan perubatan telah disediakan yang setiap satu dilengkapi peralatan yang mampu menyediakan respons kecemasan bagi kes kritikal.
“Ini termasuk bantuan bagi serangan jantung,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata empat pangkalan perubatan itu telah dibuka di hotel yang menjadi penginapan para perwakilan dan sebuah lagi di Pusat Konvenysen Kuala (KLCC) iaitu venue sidang kemuncak.
“Kami mempunyai keupayaan untuk memulih dan menstabilkan pesakit sebelum mereka dihantar untuk mendapat rawatan tetap.
“Kami bersedia untuk memberi respons kepada sebarang kecederaan besar. Moga-moga ia tidak berlaku,” kata Dr Ridzuan.
Beliau berkata sebanyak 10 buah ambulans turut bersiap sedia di lokasi strategik.
Sementara itu Pakar Perubatan Kecemasan dan Pengurusan Bencana, Datuk Dr Alwi Abdul Rahman berkata pasukan perubatan turut bertanggungjawab untuk mengawal penyakit.
“Kami telah melakukan semburan asap untuk kawalan vektor sebelum ini dan kami turut melakukan pemeriksaan makanan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Selayang berkata semua hospital di Lembah Klang telah diletak dalam kedaan bersiap siaga sepanjang sidang kemuncak. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]CpO5jRvEx_U[/wpdevart_youtube]

