KUALA LUMPUR – Bajet 2016 akan menumpukan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi, memastikan keterangkuman, memperkasa modal insan, meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau serta menjamin kesejahteraan rakyat.
Untuk itu, kerajaan akan melaksanakan dasar yang dapat mengukuhkan lagi ekonomi domestik, termasuk meningkatkan penggunaan menerusi peningkatan pendapatan boleh guna dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan menangani peningkatan kos sara hidup, demikian menurut Laporan Ekonomi 2015/2016 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.
Dalam aspek pelaburan, inisiatif akan diambil untuk meningkatkan keyakinan pelabur menerusi penyediaan persekitaran yang kondusif agar pelaburan terus berkembang.
Usaha menarik pelaburan lansung asing (FDI) akan terus dipergiat, dan dalam aspek pelaburan domestik pula, PKS akan dibimbing dan digalakkan untuk melabur dalam teknologi, mengoptimum peluang untuk bergerak ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi dan mengambil bahagian secara aktif dalam rantaian penawaran global.
Menurut MOF kerajaan akan terus menyediakan dana untuk projek pelaburan awam secara berhemat seperti yang diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas.
Dalam memastikan keterangkuman dan pembangunan seimbang, MOF berkata kerajaan akan meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat, termasuk di Sabah dan Sarawak menerusi pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo.
“Kerajaan akan berusaha meningkatkan pendapatan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah sehingga RM3,855 dan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan dalam julat RM3,860 dan RM8,319, dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menggalakkan keusahawanan,” kata MOF.
Kerajaan juga akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan modal insan bagi memastikan tenaga kerja dilengkapi pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian melalui penambahbaikan sistem pendidikan serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris untuk meletakkan pelajar Malaysia setaraf dengan pelajar antarabangsa.
Kerajaan komited untuk meningkatkan produktiviti melalui peningkatan pengetahuan, serta penggunaan inovasi dan teknologi dengan menggalakkan program latihan semula dan peningkatan kemahiran untuk menambah produktiviti buruh.
Dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan memenuhi keperluan rumah kepada rakyat, kerajaan akan menyediakan kemudahan pembiayaan secukupnya kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana serta meluaskan program perumahan sewa beli kepada kumpulan berpendapatan rendah.
“Bajet 2016 juga akan menambah baik akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dengan membina dan menaik taraf lebih banyak klinik kesihatan dan Klinik 1Malaysia,” kata MOF.
Bagi memudahkan pergerakan rakyat dan barangan, kerajaan akan terus membangunkan sistem pengangkutan awam dengan mengukuhkan perhubungan antara mod pengangkutan awam dan kawasan serta meningkatkan kekerapan dan ketepatan masa perkhidmatan, katanya.
“Bagi memastikan keamanan dan keselamatan rakyat terjamin, kerajaan akan meningkatkan usaha membanteras jenayah melalui penempatan semula lebih ramai anggota polis serta meningkatkan kapasiti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata MOF. – BERNAMA

