Media sosial twitter hari ini dipenuhi gambar penyokong Menteri Besar Selangor yang baru Mohamed Azmin Ali yang dilihat turun padang membuat lawatan mengejut ke pusat pembuangan sampah di Selangor semalam.
Dalam twitter beliau sendiri, @AzminAli, beliau menggunakan perkataan terjah untuk menggambarkan lawatan turun padang beliau ke tapak pembuangan sampah haram dan juga penempatan haram pendatang tanpa izin di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves.
Azmin yang dilihat berkemeja putih seakan tidak mempunyai masalah untuk masuk ke kawasan pembuangan sampah berkenaan tanpa menghiraukan bajunya itu kotor.
[BACA – Azmin Ali Umum Potong Gaji MB, Exco, Speaker Dan Timbalan]
Laman portal Malaysiakini, menggambarkan lawatan Azmin itu umpama publisiti yang pernah dicetuskan oleh Presiden Indonesia yang baharu Joko Widodo kerana juga pernah melawat dan memanjat lori sampah.
Gambar Joko pada ketika itu meningkatkan namanya dalam politik Indonesia dalam sekelip mata.
Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi dikenali rakyat Indonesia dengan gaya ‘blusukan’ (istilah Indonesia untuk turun padang) sejak berkempen untuk jawatan Gabenor Jakarata lagi sebelum memenangi pemilihan Presiden Indonesia.
Diharapkan kerja Azmin sebegini berterusan kerana rakyat Selangor masih lagi mempunyai banyak agenda dan masalah yang perlu diperhatikan dan diselesaikan salah satunya ialah masalah kutipan dan pengurusan sampah yang cekap.
Gambar lawatan turun padang Azmin turut dikongsikan beliau di laman Instagramnya.
Dalam satu tweet oleh pengguna twitter dengan gambar Azmin memanjat sebuah lori sampah, pengguna itu mengatakan bahawa ada beberapa lori sampah yang tidak menggunakan permit telah berjaya dikesan oleh Azmin dalam lawatan itu. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K



