PUTRAJAYA – Malaysia menerima keputusan Jawatankuasa Sementara Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan terhadap tindakan Majlis Olimpik Asia (OCA) melucutkan pingat emas atlet wushu wanita, Tai Cheau Xuen kerana kesalahan doping pada temasya Sukan Asia ke-17.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, memberi jaminan bahawa pingat emas pertama negara itu akan dipulangkan berikutan keputusan CAS itu.
Walapun menerima keputusan itu atas komitmen misi sukan, namun beliau menegaskan bahawa ia tidak bermakna “kami gembira dan berpuas hati dengan proses doping yang dijalankan.”
“Terdapat kesilapan serius dalam prosedur (doping)… kami akan menulis satu lagi surat kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan OCA,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sukan lasak, Cabaran Rembau 2014, di sini hari ini.
Cabaran Rembau 2014 di Rembau, Negeri Sembilan pada 14 Disember ini membabitkan tiga disiplin – acara berlari, berbasikal, tubing dan kayak bagi peserta amatur dan profesional.
Semalam, CAS menolak rayuan Malaysia berhubung kes Cheau Xuen.
Cheau Xuen, yang muncul juara dunia di Kuala Lumpur tahun lepas, diuji positif mengambil bahan perangsang sibutramine selepas memenangi pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia di Sukan Asia 2014, 20 September lalu.
Berikutan ujian itu, OCA melucutkan pingat emas pertama negara yang disumbangkan oleh atlet berusia 23 tahun itu.
Khairy berkata walaupun Malaysia mahu mengamalkan toleransi sifar terhadap doping tetapi ia tidak harus mengorbankan keadilan asasi atlet.
“Ada kecenderungan dalam sukan sekarang bahawa setiap kali ada ujian doping, sebarang persoalan mengenai integriti proses ujian ditolak kerana apa yang paling penting ialah ujian itu sendiri,” katanya.
“Apa yang kita cuba mengatakan bahawa bukan sahaja ujian tetapi prosedur juga sama penting agar tidak melanggar keadilan asasi untuk atlet,” katanya. – BERNAMA

