KOTA TINGGI – Sebanyak 18,782 surat peringatan telah dikeluarkan kapada 1.75 juta isi rumah di tujuh negeri yang gagal melakukan pengasingan sisa pepejal di punca atau daripada rumah dalam tempoh dua minggu pertama bulan ini.
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengeluarkan notis berkenaan sejak perintah pelaksanaan bermula 1 Sept lepas.
Sebagai langkah advokasi, isi rumah yang gagakl mengasingkan sisa pepejal di punca diberikan notis peringatan sebelum penguatkuasaan sepenuh undang-undang kepada mereka yang ingkar dilaksanakan bermula 1 Jun 2016.
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata dalam tempoh dua minggu itu, sebanyak 33,437.34kg sampah kitar semula juga telah berjaya dikutip.
“Pengasingan sisa pepejal ini kita pantau secara mingguan sebelum tindakan kompaun dikenakan bermula 1 Jun tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah pangsa Taman Sri Saujana untuk Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) di sini, hari ini.
Halimah berharap surat peringatan yang diberikan itu juga akan menjadi peringatan supaya masyarakat tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Dalam pada itu, beliau juga meminta pihak Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) rumah pangsa turut sama memainkan peranan dan membantu usaha meningkatkan kesedaran penduduk tentang pengasingan sisa pepejal di punca.
“Malah sehingga kini sebanyak 1.7 juta risalah telah pun kita agihkan kepada orang ramai untuk memastikan masyarakat faham tentang proses pengasingan yang perlu dilakukan,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Fizwan Rashidi, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd Noorazam Osman, Pengerusi JMB Rumah Pangsa Kos Rendah Taman Sri Saujana, Zaini Saliken. – BERNAMA