MYNEWSHUB sebelum ini pernah menyiarkan kisah seorang pramugari yang maut selepas terjun dari tingkat 4 sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, minggu lalu.
Pramugari Maut Terjun Dari Aras Empat Pangsapuri
Mangsa yang ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap didapati mati tertiarap sekitar jam 6.30 petang, 24 Ogos lalu.
Susulan kejadian tersebut gambar mangsa tersebar di alam maya dengan rata-rata netizen meluahkan perasaan kesal dan sedih atas kejadian tersebut.
Mangsa disifatkan sebagai seorang yang cantik, masih muda dan memiliki karier justeru caranya mengakhiri hidup disesali ramai.
Berdasarkan gambar-gambar dikongsikan di laman sosial Instagram milik mendiang pula, ramai menyifatkan bahawa dia tidak kelihatan seperti mahu menamatkan riwayatnya sendiri.
Terdapat beberapa pos menunjukkan mendiang dalam kesedihan atau sedang berperang dengan perasaan namun ianya masih lagi pos yang boleh dianggap biasa dimuatnaik oleh semua orang.

Malah pos terakhir yang dipercayai dimuatnaik pada hari kematiannya menunjukkan seolah-olah mendiang mendapat semangat baru dalam hidup.

Bagaimanapun berdasarkan keterangan rakan serumah dan rakan-rakan, mangsa sememangnya kelihatan terganggu sejak akhir-akhir ini dan dilihat menangis bersendirian di bilik pada pagi kejadian.
Ketika kejadian lewat petang itu, tingkap bilik mangsa didapati terbuka dan tindakannya tak disedari sesiapa kerana rakan serumah lain berada di bilik berasingan selain cuaca sedang hujan lebat.
Ketika ditemui mangsa sudah pun tertiarap di depan lobi kondominium yang didiaminya dalam keadaan berlumuran darah.
Siasatan mendapati biliknya dalam keadaan biasa, bagaimanapun terdapat dompet serta nota bunuh diri ditinggalkan di atas katil.

Bagi kami, ada dua pengajaran yang dapat diambil daripada kejadian tragis ini.
Pertama, sentiasa prihatin jika dapati orang terdekat dengan anda berada dalam keadaan tertekan dengan masalah kerana siapa tahu, sampai satu tahap dia mungkin kehilangan pedoman hingga melakukan tindakan yang tak dapat diperbetulkan lagi.
Kedua, walau sebesar mana pun masalah dialami ingatlah bahawa jalan penyelesaian sentiasa ada. Jika berseorangan mendatangkan buntu maka keluarlah.. nescaya didapati dunia ini masih sangat luas dan ada banyak perkara menggembirakan sedang menanti di luar sana jika kita terus bersangka baik dengan kehidupan. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: Rem Ramzi

