JOHOR BAHRU – Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail memaklumkan bola keranjang bakal menjadi projek sukan terbaharu di bawah jenama JDT selepas kejayaan dicapai dalam beberapa cabang sukan lain.
Menerusi hantaran di Instagram, baginda berkongsi perancangan itu secara ringkas dengan menyatakan, “Bola sepak, bola jaring, ragbi, perlumbaan motosikal. Projek seterusnya bola keranjang”
Pengumuman itu sekali gus memberi bayangan bahawa JDT akan terus mengembangkan pengaruhnya dalam arena sukan negara selepas mencipta pelbagai kejayaan dalam bola sepak, bola jaring, ragbi dan perlumbaan motosikal.
Dalam bola sepak, JDT muncul sebagai kuasa dominan negara apabila memenangi pelbagai kejuaraan domestik termasuk liga, selain menjadi kelab Malaysia paling berjaya di pentas Asia dengan menjuarai AFC Cup pada 2015 serta layak beraksi secara konsisten dalam saingan elit Asia.
Dalam sukan bola jaring pula, Johor Jewels mencipta sejarah apabila muncul pasukan pertama menjuarai NSL Regional Cup edisi sulung, sekali gus mengukuhkan reputasi Johor sebagai kuasa baharu dalam sukan itu.
Kejayaan turut diraih dalam ragbi apabila Johor menamatkan penantian hampir sedekad untuk kembali bergelar juara Piala Agong selepas menewaskan Terengganu 34-26 pada aksi final edisi ke-42.
Manakala pasukan JDT Racing Team terus mengharumkan nama negara menerusi kejayaan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang meraih kemenangan pada pusingan ketiga Asia Road Racing Championship di Motegi, Jepun.
Dengan pengumuman terbaharu itu, bola keranjang dijangka menjadi satu lagi fokus pembangunan sukan di bawah inisiatif JDT, sekali gus memperluaskan lagi legasi Johor dalam pelbagai disiplin sukan. – MYNEWSHUB


