OLEH MYNEWSHUB
SHAH ALAM – Pramugara Malaysia Airlines yang dikenali ramai di media sosial, Hafeez Al Bukhary Zulkefly, meninggal dunia hari ini selepas bertarung dengan kanser kolon (usus) tahap empat.

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh ahli keluarganya menerusi satu hantaran di Threads.
Sebelum ini, keadaan Hafeez dilaporkan semakin kritikal sehingga beliau dibawa pulang ke kampung halamannya di Perak bagi mendapatkan penjagaan bersama keluarga.
Pada Ogos tahun lalu, Allahyarham mendedahkan bahawa beliau disahkan menghidap kanser kolon tahap empat. Ketika itu, beliau menerima ujian tersebut dengan hati yang reda dan percaya setiap dugaan yang diberikan Allah SWT mempunyai hikmah tersendiri.
Hafeez dikenali ramai menerusi perkongsian kehidupan sebagai pramugara Malaysia Airlines, termasuk pengalaman menguruskan penumpang dan jemaah haji.
Sikapnya yang mesra, sopan serta sentiasa mengukir senyuman ketika bertugas menjadikan beliau antara pencipta kandungan yang disayangi ramai.

Pemergiannya mengundang rasa sedih dalam kalangan rakan-rakan, pengikut media sosial serta warga penerbangan yang mengenali beliau.
Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.- MYNEWSHUB


