KUCHING – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah membuat pembayaran untuk perbelanjaan pengebumian dan juga pencen bulanan pertama kepada waris 20 mangsa yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Ukraine, Julai lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, hari ini berkata pembayaran itu membabitkan lima penumpang dan 15 anak kapal pesawat malang yang juga pencarum Perkeso.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kursus Penilai Kemerosotan Perubatan Bertauliah (CMIA) di sini, beliau berkata manfaat pengebumian itu berjumlah RM1,500 manakala kuantum pembayaran pencen bulanan bergantung kepada tempoh caruman.
“Jumlah pencen bulanan berbeza-beza antara RM575 dan RM2,675,” katanya.
Mengenai pencarum PERKESO yang juga antara penumpang pesawat MAS Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, Riot berkata manfaat itu tidak boleh dikeluarkan kerana nasib mereka belum diketahui.
“Berdasarkan standard undang-undang antarabangsa, hanya apabila mereka masih hilang selama tujuh tahun, mereka akan dianggap sebagai telah mati dan bayaran akan dikeluarkan.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia dipercayai ditembak jatuh dan sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan kejam itu.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal pula hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu.
Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun gerakan mencari secara besar-besaran dilancarkan di selatan Lautan Hindi di mana ia dipercayai berakhir selepas tersasar dari laluan asalnya. Usaha mencari masih diteruskan. – BERNAMA

