PERKEMBANGAN terbaharu isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyaksikan seorang pengarah syarikat pembangunan hartanah swasta menjadi individu pertama yang ditahan reman.
Beliau ditahan oleh Pasukan Petugas Khas yang dibentuk untuk menyiasat kes tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin sebelum direman selama empat hari bermula Selasa bagi membantu siasatan.
Memetik laporan Agenda Daily, perintah reman itu dikeluarkan Majistret Lau Eric di Mahkamah Majistret Putrajaya sebentar tadi.
Menurut peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, anak guamnya itu ditahan reman selama empat hari berkaitan isu berkepentingan nasional.
“Mereka memohon untuk direman tujuh hari tetapi majistret membenarkan empat hari sahaja,” katanya.
Pasukan Petugas Khas itu telah dibentuk awal Julai lalu bagi menyiasat isu berhubung 1MDB.
Sebelum ini, 1MDB mengesahkan pegawai daripada Pasukan Petugas Khas yang sedang menjalankan siasatan terhadap syarikat pembangunan strategik kerajaan itu, datang ke pejabatnya 8 Julai lalu.
“Kami menyerahkan kepada mereka beberapa dokumen dan bahan berkaitan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan sekarang,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
1MDB berkata ia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pasukan Petugas Khas itu dan semua pihak berkuasa undang-undang.
“Kami mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa sekiranya terdapat salah laku dan penyelewengan, tindakan perlu diambil berlandaskan undang-undang negara,” kata syarikat itu. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Agenda Daily

