KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diminta bertenang dan tidak membuat sebarang andaian awal ke atas dakwaan beberapa media antarabangsa terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, masyarakat tidak boleh terus menghukum Perdana Menteri kerana dakwaan itu hanya berdasarkan laporan media yang belum disahkan kebenarannya.
“Jangan juga membuat sebarang spekulasi kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Saya setuju ini adalah dakwaan serius yang telah menarik perhatian ramai dan perlu diambil tindakan segera. Oleh itu, seperti rakyat Malaysia yang lain, saya juga ingin tahu keadaan yang sebenar.
“Ruang harus diberikan kepada pihak berkuasa khususnya Pasukan Petugas Khas yang dianggotai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Hishammuddin berkata, beliau dan Pasukan Petugas Khas akan menjalankan siasatan dengan segera, adil dan tidak berpihak kepada sesiapa. Justeru rakyat Malaysia diminta agar bersatu padu dan terus memberi sokongan kepada negara.
Beliau turut menggesa pihak-pihak yang telah membuat dakwaan agar tampil dengan bukti kukuh kerana dakwaan itu bukan sahaja melibatkan maruah dan kredibiliti Perdana Menteri malah imej kerajaan Malaysia di mata dunia.
“Perdana Menteri telah pun mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan perkara ini. Saya menyokong penuh dan tetap bersama beliau dalam ketegasannya untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membuat dakwaan tidak berasas,” katanya.
– MYNEWSHUB.CC

