KUALA LUMPUR – Pesanan panjang lebar Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar kepada rakyat supaya tidak mensia-siakan masa depan negara hanya kerana tidak menyukai pemimpin yang sedang memerintah mengundang kritikan sebilangan netizen.
Menerusi hantaran di media sempena ulang tahun keempat Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahfuz mengingatkan rakyat supaya membezakan persaingan politik dengan kepentingan nasional.
“Jangan sampai kerana terlalu ghairah mahu menjatuhkan Perdana Menteri, kita sanggup menggugat kestabilan, merosakkan keyakinan pelabur dan mengorbankan usaha pembangunan yang sedang berjalan,” katanya.
Mahfuz turut meminta rakyat supaya tidak membiarkan kebencian membutakan pemikiran sehingga pencapaian kerajaan ditolak hanya kerana dilakukan pihak yang tidak disukai.
Beliau mengakui Kerajaan Madani dan Anwar tidak sempurna, tetapi masa depan negara yang musnah akibat kebencian tidak mudah dibina semula.
Bagaimanapun, pesanan Mahfuz itu mengundang kritikan pengguna media sosial yang mengungkit pendekatan pembangkang ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengguna Facebook, Mazlan Wahab mendakwa Mahfuz sebelum ini membangkang Najib walaupun terdapat perkara baik dilakukan bekas Perdana Menteri itu.
“Zaman Najib semua ko bangkang.. walaupun ada yang baik dia lakukan.. Ni zaman Anwar Ibrahim tetiba ko mintak adil jika ada kebaikan yang Anwar lakukan,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, Ismail Ismail turut membangkitkan perkara sama.
“Masa kau orang nak jatuhkan DSNR satu kebaikan dia pun kau orang tak nampak,” tulisnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Komen Netizen: Akaun Media Sosial Mahfuz Omar


