KUALA LUMPUR – Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 yang berlangsung di ibu negara petang semalam mengundang kritikan sebahagian netizen yang mempersoalkan sama ada program itu benar-benar bertujuan menentang rasuah atau bermotifkan politik.
Berdasarkan tinjauan di ruangan-ruangan komen media sosial, antara yang menjadi perhatian adalah penggunaan poster dan karikatur berunsur sindiran politik dengan tulisan ‘Perasuah’ dan ‘Perasuah Agama’.
Penggunaan bahan berkenaan mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen mengenai objektif sebenar penganjuran himpunan tersebut.
Ada yang mempersoalkan sama ada himpunan itu merupakan gerakan menentang rasuah secara menyeluruh atau sekadar medan menyerang tokoh politik tertentu.
Malah, terdapat juga netizen yang mempersoalkan sama ada himpunan berkenaan dianjurkan kerana pihak tertentu sudah melihat kemungkinan mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Tidak kurang juga yang berpandangan bahawa rakyat sudah serik dengan demonstrasi seumpama itu berdasarkan pengalaman lalu.
Menurut pandangan mereka, rakyat sebelum ini mudah terpedaya kerana tidak mengetahui keadaan sebenar, namun kini lebih berhati-hati dalam menilai demonstrasi seperti itu.
Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 itu bermula pada pukul 2 petang dengan perarakan dari pusat beli-belah SOGO menuju ke Dataran Merdeka. – MYNEWSHUB


