KUALA LUMPUR – Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersetuju bahawa hiburan ala konsert dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) amat tidak wajar dan tidak beradab.
Beliau berkata, majlis istiadat konvokesyen merupakan upacara kemuncak pengiktirafan dan pemartabatan ilmu yang perlu dipelihara.
“Kalaupun hendak ada nyanyian dan persembahan artis jemputan di waktu sela masa rehat, pemilihan lagu, pakaian, dan orientasi persembahan mestilah bersesuaian dengan Majlis istiadat ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Susulan itu, Asyraf Wajdi telah mengarahkan Ketua Pengarah, pengurusan MARA dan UniKL supaya mengambil tindakan serius berhubung perkara berkenaan.
Beliau turut mengarahkan perubahan dan penambahbaikan segera dilakukan terhadap kod etika dan adab penganjuran majlis konvokesyen semua institusi pendidikan di bawah MARA.
Menurutnya, ilmu bukan sekadar proses memperoleh pengetahuan dan menguasai kemahiran, malah merangkumi pembentukan adab, penyemaian nilai dan pembinaan keperibadian insan.
“Tentu sekali Majlis Konvokesyen adalah manifestasi ilmu dan adab yang perlu dipelihara,” katanya.
Asyraf Wajdi turut memaklumkan beliau telah memanggil Naib Canselor UniKL dan Ketua Pengarah MARA pada Isnin ini bagi membentangkan tindakan yang bakal diambil untuk menambah baik penganjuran majlis istiadat konvokesyen universiti dan institusi pendidikan MARA pada masa depan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan pandangan berhubung perkara tersebut. – MYNEWSHUB


