KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa diminta menyiasat seorang Ahli Parlimen yang didakwa membuat kenyataan menggugat sensitiviti keagamaan ketika mengunjungi Terengganu, baru-baru ini
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata demikian pada sidang Dewan Rakyat hari ini dengan menegaskan beliau tidak bersetuju dengan perbuatan tersebut.
“Kenyataan Ahli Parlimen terbabit, saya tidak bersetuju. Itu jelas. Walaupun sudah minta maaf, itu saya serah kepada siasatan.
“Apakah kenyataan dibuat selepas mohon maaf, itu keputusan PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya seperti dilaporkan media.
Perdana Menteri namun tidak menamakan Ahli Parlimen berkenaan, tetapi menegaskan tiada pihak terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan sekiranya membangkitkan isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R)
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai tindakan ke atas seorang Ahli Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan menggugat sensitiviti keagamaan.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan siasatan terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berhubung sajaknya perlu diteruskan.
“Kalau tanya saya sebagai sahabat, saya tidak cenderung, tetapi sajak itu ditafsir sebagai menghina institusi diraja,” katanya. – MYNEWSHUB


