KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim menasihati pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) supaya jangan terlalu terbawa-bawa dalam usaha mengambil hati mengambil hati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Menurut beliau, pemimpin Amanah menyifatkan dasar-dasar UMNO menyerupai dasar-dasar ketuanan kulit putih di Amerika Syarikat sedangkan mereka sendiri mendapat manfaat daripada dasar-dasar UMNO yang kononnya bersifat diskriminasi.
“Sebahagian daripada mereka berasal dari MARA (Majlis Amanah Rakyat) seperti saya. Di situlah orang Melayu dari kampung yang tidak begitu pandai diberi peluang untuk memperbaiki kehidupan mereka,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Mohd Zaid berkata, dasar-dasar UMNO selama ini mungkin boleh diperhalusi dan dilaksanakan dengan lebih baik, tetapi dasar-dasar tersebut tidak pernah berasaskan keunggulan sesuatu kaum.
Tambah beliau, orang Melayu juga bukanlah golongan yang menganggap kaum mereka lebih unggul, sebaliknya mereka terlalu ‘timid’ dan pemurah hati.
“Itulah sebabnya, dalam buku baharu saya, We Can Work It Out, saya percaya kerjasama antara UMNO dan PAS akan membawa kebaikan kepada semua pihak. Sudah tentu, semuanya bergantung pada kualiti pemimpin yang kita pilih,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Datuk Mohd Zaid Ibrahim


