BERA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa menyegerakan penyertaan dalam agenda Khemah Besar Pakatan Harapan (PH) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Gesaan itu antara tujuh usul yang diluluskan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Bersatu Bahagian Bera pada 21 November lalu.
Ketua Bersatu Bahagian Bera, Zakaria Abdul Hamid menerusi kenyataan memaklumkan, mesyuarat berkenaan turut menyarankan PAS supaya tidak bekerjasama dengan UMNO yang didakwa sebagai ‘parti sakau’
Menurut usul itu, kerjasama dengan UMNO didakwa dikhuatiri merosakkan negara sekiranya parti berkenaan kembali diberi kuasa.
PAS turut dicadangkan menyertai agenda Khemah Besar PH yang didakwa konon kurang mudarat berbanding UMNO demi membina masa depan negara lebih gemilang.
“Bersatu Bahagian Bera menggesa pimpinan tertinggi Bersatu menyegerakan penyertaan dalam agenda Khemah Besar PH sebagai persiapan menghadapi PRU.
“Bersatu Bahagian Bera menyarankan PAS Pusat tidak bersekongkol dengan parti sakau UMNO dan mencadangkan PAS juga menyertai agenda Khemah Besar PH,” katanya.
Dalam pada itu, BERSATU Bahagian Bera menyarankan Kementerian Kewangan mengecualikan cukai perkhidmatan SST daripada enam peratus kepada sifar bagi makanan dan minuman, telekomunikasi, logistik, tempat letak kereta serta sewaan premis untuk mengurangkan kos sara hidup. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zakaria Abdul Hamid


