KANGAR – Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya membidas Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu kerana dilaporkan menyamakan perjuangan ketuanan Melayu dengan ideologi ‘white supremacy’
Menerusi hantaran di media sosial, beliau menegaskan perjuangan mempertahankan hak Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disamakan dengan tindakan menindas kaum lain.
“Abang Mat, jangan pukul rata. Bela hak sendiri tak sama dengan pijak hak orang lain,” katanya.
Fathul Bari menjelaskan Perkara 153 melindungi kedudukan istimewa Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak tanpa mengetepikan kepentingan sah kaum lain, manakala Perkara 8 menjamin kesamarataan di sisi undang-undang.
Katanya, ‘white supremacy’ di Amerika Syarikat pula berasaskan kepercayaan bahawa orang kulit putih lebih tinggi kedudukannya dan berhak menguasai kaum lain.
Dalam masa sama, Fathul Bari bersetuju dengan pendirian Mohamad menolak pembelaan terhadap individu terlibat rasuah atas alasan sebangsa, namun menegaskan kesalahan seseorang tidak boleh dijadikan alasan menghukum seluruh kelompok.
“Asabiyyah yang dicela ialah membela kelompok sendiri walaupun salah dan zalim. Melayu yang menindas tetap kita tentang. Hak Melayu yang sah tetap kita pertahankan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan orang Melayu Islam mempertahankan notis penutupan sementara bagi memberi laluan kepada solat Jumaat di Terengganu juga mahu dilabel sebagai ketuanan Melayu.
Fathul Bari turut membangkitkan isu bendera terbalik, penggunaan kalimah Allah, tuntutan hak milik tanah 999 tahun dan penternakan babi di Selangor sebagai contoh isu yang disuarakan masyarakat Melayu.
“Abang Mat, tunjukkanlah dasar atau perbuatan yang menindas, kemudian kritik dengan bukti. Jangan jadikan label white supremacy jalan pintas untuk menghukum perjuangan hak secara pukal,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Dr. Fathul Bari

