KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan mempersoalkan sama ada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook masih Menteri Pengangkutan dan mempunyai kuasa menjalankan tanggungjawab kementerian itu.
Beliau membangkitkan persoalan tersebut susulan reaksi Anthony Loke terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhubung urusan tandatangan kelulusan operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
“Adakah Anthony Loke masih merupakan Menteri Pengangkutan pada masa ini? Adakah beliau masih mempunyai kedudukan dan kuasa untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Pengangkutan?” soalnya menerusi kenyataan di media sosial.
Menurut Mike Chong, berdasarkan penjelasan terakhir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anthony Loke dianggap sedang bercuti sementara waktu walaupun telah mengemukakan peletakan jawatan.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai pihak yang bertanggungjawab mengendalikan urusan ECRL menjelang operasi serta siapa yang akan menandatangani dokumen kelulusan diperlukan.
Beliau menegaskan persoalan Presiden MCA bukan bertujuan mencetuskan polemik politik, sebaliknya mendapatkan kepastian mengenai prosedur pentadbiran, tanggungjawab kementerian dan pematuhan undang-undang.
“Anthony Loke jangan cepat melatah mengenai persoalan yang dibangkitkan oleh Presiden MCA,” katanya.
Beliau berkata, projek ECRL pernah menghadapi pelbagai halangan dan perubahan jajaran ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sebelum isu berkaitan diperbetulkan apabila Barisan Nasional (BN) kembali menerajui kerajaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial MCA


