JOHOR BAHRU – Tiga pelatih Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menerima Diploma Sukan dan Kecergasan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sempena Majlis Konvokesyen ke-70 universiti itu yang berlangsung baru-baru ini.
Mereka ialah Muhammad Haiqal Khairuddin, Muhammad Danish Mohamad Zahir dan Muhammad Izham Zulkifli.
Menurut hantaran Johor Southern Tigers di media sosial, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama antara JDT dan UTM dalam pembangunan pendidikan pemain bola sepak.
Kerjasama itu dimeterai menerusi perjanjian pembangunan pendidikan pemain yang ditandatangani pada tahun 2023.
Melalui perjanjian berkenaan, Program Diploma Sukan dan Kecergasan ditawarkan secara khusus kepada pelatih Akademi JDT bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan.
Lebih membanggakan, Muhammad Haiqal turut menerima Anugerah Dekan dan Hadiah Akademi SPACE UTM sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademiknya.
Pengarah Akademi JDT, Javier Jorda turut hadir pada majlis penyampaian tersebut.
Kejayaan ketiga-tiga pelatih berkenaan memperlihatkan hasil kerjasama JDT dan UTM dalam menyediakan peluang pendidikan dan pembangunan dalam sukan bola sepak. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Johor Southern Tigers


