JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan laporan polis dan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat terhadap sejumlah akaun media sosial mencurigakan yang didakwa menyebarkan fitnah mengenai projek pembangunan dan kemudahan awam di Johor.
Menurut beliau, kebanyakan hantaran berkenaan menggunakan ayat serta naratif hampir sama, termasuk mendakwa kewujudan projek bernilai ratusan juta ringgit dan menyebut nama syarikat yang meragukan.
Katanya, sebahagian besar akaun terbabit juga tidak mempunyai sebarang pengikut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tujuan sebenar hantaran tersebut.
“Saya sentiasa terbuka menerima teguran, kritikan dan aduan daripada Bangsa Johor. Insya-Allah, setiap aduan akan disemak dan diambil tindakan.
“Tetapi kalau ada pihak yang sengaja menggunakan akaun palsu untuk mereka-reka cerita atau menyebarkan maklumat tidak benar bagi menghasut rakyat, perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya menerusi hantaran media sosial.
Onn Hafiz berkata, laporan berkenaan dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat kesahihan akaun, kandungan yang disebarkan serta kemungkinan wujudnya aktiviti penyebaran maklumat secara berkoordinasi.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mengamalkan budaya politik matang dan bertanggungjawab, khususnya ketika musim pilihan raya.
“Kita boleh berbeza pandangan, mengkritik dan tidak bersetuju, tetapi jangan sampai perbezaan politik dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah atau mengelirukan rakyat,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan rakyat Johor supaya sentiasa berhati-hati dan menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Beliau turut berharap tindakan sewajarnya diambil bagi melindungi keharmonian dan kemakmuran Johor daripada sebarang fitnah serta penyebaran maklumat tidak benar. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


