KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menegaskan beliau akan terus memperjuangkan isu rasa tidak puas hati masyarakat bukan Bumiputera terhadap layanan tidak sama rata serta kekurangan peruntukan kerajaan yang setimpal dengan sumbangan kewangan mereka kepada negara.
Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan menegaskan, masyarakat bukan Bumiputera turut menyumbang kepada hasil negara melalui pembayaran cukai, duti kastam, fi dan pelbagai caj.
Guan Eng berkata, beliau sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan menyediakan peruntukan tahunan kepada bukan Bumiputera bersamaan 10 peratus daripada jumlah yang diperuntukkan khusus kepada Bumiputera.
Bagaimanapun, katanya, cadangan itu tidak bermaksud peruntukan sedia ada untuk Bumiputera perlu dikurangkan walaupun satu sen.
“Sebagai contoh, jika peruntukan belanjawan tahunan khusus kepada Bumiputera ialah RM30 bilion, maka berikan RM3 bilion kepada bukan Bumiputera tanpa mengurangkan walau satu sen daripada RM30 bilion tersebut,” katanya menerusi hantaran media sosial.
Guan Eng mengakui sudah dua tahun beliau mengemukakan cadangan berkenaan secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa pertemuan serta melalui ucapan di Parlimen, namun masih belum berjaya.
Katanya, kegagalan itu tidak akan menghalangnya daripada terus bersuara mengenai isu tersebut, selain memperjuangkan keadilan ekonomi dan sosial untuk semua kaum serta rakyat Malaysia.
Beliau turut menggesa reformasi ekonomi segera bagi membantu 1.2 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman, peningkatan kos pematuhan, fi dan cukai.
Menurutnya, golongan itu juga berdepan kemerosotan perniagaan akibat perang harga dengan pesaing asing yang mendapat sokongan kerajaan negara masing-masing.
Guan Eng bagaimanapun berkata, Anwar telah menerima 10 cadangan lain selepas rayuan berulang kali daripada beliau dan pemimpin tertinggi DAP. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Lim Guan Eng


