KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kenyataan tegasnya mengenai isu Taiwan mempertahankan Dasar Satu China (One China Policy) yang menjadi dasar luar Malaysia sejak diperkenalkan Almarhum Tun Abdul Razak Hussein pada 1974.
“Dasar Satu China. Itu dasar Malaysia sejak 1974, bila Almarhum Tun Abdul Razak umumkan One China Policy. Jadi tak ada bercanggah di situ. Cuma kenyataan tegas kita itu mengundang sedikit keresahan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Anwar berkata, kerajaan tetap mengiktiraf Dasar Satu China dan sebab itulah Malaysia tidak mempunyai kedutaan rasmi di Taiwan, sebaliknya hanya pejabat perdagangan.
“Apakah kesannya dari sudut dasar? Saya kata dasar kita tak berganjak. Dasar Malaysia sejak 1974 dan kerajaan sekarang akui One China Policy. Period,” tegasnya.
Beliau turut menafikan wujudnya rundingan rasmi antara Malaysia dengan Taiwan seperti yang dibangkitkan, sebaliknya menjelaskan hubungan berkaitan ekonomi dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi.
Katanya, mesyuarat jawatankuasa yang sebelum ini ditangguhkan telah diminta supaya diteruskan, termasuk urusan perdagangan dan pelaburan.
Mengenai kemungkinan hubungan ekonomi terjejas akibat kenyataannya berhubung Taiwan dalam satu wawancara dengan media asing, Anwar berkata setakat ini tiada petunjuk sedemikian.
Menurut beliau, semakan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga mendapati operasi dan pelaburan berkaitan Taiwan belum menunjukkan sebarang masalah.
Anwar mengakui nada kenyataannya mengenai China kali ini lebih tegas, namun menegaskan ia tidak menyimpang daripada dasar luar Malaysia.
“Nada saya lebih tentu, sedikit lebih tegas. Tetapi, bagi saya, tidak lari daripada garis dasar luar negara kita yang termenterai sejak dulu,” katanya. – MYNEWSHUB


