KUALA LUMPUR – Hantaran ringkas ‘Alhamdulillah’ dipercayai di muat naik oleh pentadbir akaun Facebook Najib Razak beberapa hari lalu hampir mencecah 100,000 reaksi setakat pukul 2.20 petang ini.
Respons yang tinggi diterima dalam kalangan netizen bagi tempoh singkat itu memperlihatkan sambutan luar biasa pengguna media sosial susulan keputusan mahkamah membenarkan beliau menjalani tahanan rumah.
Berdasarkan tangkap layar yang dilihat Mynewshub, hantaran berkenaan merekodkan lebih 99,700 reaksi, 9,800 komen dan 2,100 perkongsian.
Daripada jumlah itu, sebanyak 88,000 merupakan tanda suka, 8,400 reaksi sayang, manakala masing-masing kira-kira 1,300 reaksi ketawa dan peduli.
Sebaliknya, hanya 271 reaksi marah, 113 terkejut dan 55 sedih direkodkan.
Hantaran tersebut turut disertakan gambar Najib diiringi beberapa pegawai penjara ketika berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dua hari lalu.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 November memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah pelepasan bertarikh 6 November dan menggantikannya dengan perintah baharu selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Najib sebelum itu menjelaskan denda RM50 juta pada 6 November hasil sumbangan orang ramai, namun pelaksanaan tahanan rumah ditangguhkan sementara bagi mendapatkan kepastian berhubung tafsiran undang-undang.
Beliau akhirnya tiba di kediamannya di Langgak Duta pada pukul 9.27 malam, 10 November, untuk menjalani tahanan rumah. – MYNEWSHUB


