KUALA LUMPUR – Laman Facebook rasmi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memuat naik sekeping gambar beliau diiringi beberapa anggota Jabatan Penjara Malaysia dengan kapsyen ringkas, “Alhamdulillah”.
Hantaran itu dibuat ketika perkembangan terbaharu berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan menjadi perhatian.
Gambar yang dikongsikan memperlihatkan Najib mengenakan pakaian berwarna biru muda sambil berjalan bersama beberapa anggota pengiring keselamatan.
Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa mengarahkan supaya satu perintah baharu dikeluarkan bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International secara tahanan rumah.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin mengeluarkan arahan berkenaan selepas mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan berhubung permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC)
Sebelum ini, pelaksanaan tahanan rumah Najib ditangguhkan sementara bagi membolehkan penelitian lanjut dibuat terhadap perintah pelepasan serta implikasi undang-undang berkaitan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. – MYNEWSHUB


